Thursday, March 5, 2009

Kedai tutup waktu solat...

Petikan: Berita Harian (6 Mac 2009)

MINGORA, Pakistan: Kerajaan Pakistan bersetuju mengarah kedai ditutup pada waktu solat dan menghapuskan gejala pelacuran serta pengedaran dadah sebagai sebahagian daripada perjanjian damai dengan puak Taliban di wilayah barat laut.

Siri rundingan baru berhubung butir perjanjian damai itu kelihatan bergerak ke arah memperluaskan lagi skop tindakan kerajaan dalam memenuhi tuntutan puak Taliban di wilayah Swat, perkembangan yang mungkin sekali lagi mengundang kecaman barat.

Pegawai Pakistan sebelum ini menegaskan di bawah perjanjian damai itu militan tidak dibenarkan membawa senjata secara terbuka tetapi tidak menyatakan sama ada senjata itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Pemberontak Taliban sudah banyak mencatatkan kemenangan ke atas tentera Pakistan di Swat sejak beberapa tahun lalu dan didakwa memaksa sehingga satu pertiga daripada 1.5 juta penduduk meninggalkan wilayah berkenaan. Bagaimanapun, kedua-dua pihak minggu lalu bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Pemerhati sebelum ini menjangka penguatkuasaan undang-undang Islam di bawah perjanjian damai itu hanya terhad kepada perubahan dalam sistem keadilan. Namun, sejak itu 17 perkara baru ditimbulkan dalam mesyuarat pegawai wilayah dengan kumpulan Taliban. Pesuruhjaya kawasan yang turut membabitkan wilayah Swat, Syed Mohammad Javed, kerajaan wilayah sudah bersetuju dengan perkara baru berkenaan.

Senarai perkara baru itu turut mengharamkan filem "lucah", memerangi rasuah dan mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah. Kedai juga akan diperintah tutup pada waktu solat dan kaum wanita juga harus mewarisi harta menurut faraid.Selain itu, kelas mengenai al-Quran akan turut ditawarkan di dalam penjara. Perjanjian damai itu membimbangkan pengkritik Barat yang khuatir kerajaan Pakistan terlalu bertolak ansur di kawasan yang menjadi kubu kuat pejuang Taliban dan al-Qaeda.

No comments: