Wednesday, April 27, 2011

Bilakah saya harus memperkenalkan makanan bayi?

Sumber Artikel : Babycenter Malaysia
Bilakah saya harus memperkenalkan makanan bayi?


Kementerian Kesihatan menyarankan supaya anda menyusu badan secara ekslusif sehingga bayi anda berusia enam bulan. Selepas enam bulan, susu badan sahaja tidak akan memberikan bayi anda nutrien yang secukupnya, terutamanya zat besi, jadi makanan lain diperlukan.

Menunggu sehingga usia enam bulan untuk memperkenalkan pepejal ke dalam diet bayi anda akan membantu meminimakan risiko reaksi buruk yang tidak dijangka terhadap makanan dan alergi. Anda harus lebih berhati-hati, jika keluarga anda mempunyai sejarah alergi sebab insiden reaksi buruk, alergi dan penyakit seliak (coeliac) akan berkurangan jika anda menangguhkan proses bercerai susu sehingga usia itu.

Jika anda merasakan yang bayi anda patut mula mengambil pepejal sebelum usia enam bulan, berbincanglah dengan pakar pediatrik atau doctor anda dahulu. Ini amat penting terutamanya jika bayi anda telah dilahirkan pramatang. Namun, jika anda telah membuat keputusan untuk memberi pepejal sebelum dia berusia enam bulan, ingatlah bahawa ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti makanan yang mengandungi gluten, telur, keju, produk tenusu, ikan dan kerang-kerangan dan kekacang.

Adakah bayi saya bersedia untuk pepejal?

Bayi anda mungkin bersedia untuk mengambil pepejal jika dia:

• boleh mengangkat kepalanya dan mengekalkan posisi itu

Adalah penting bagi bayi anda untuk mengekalkan posisi tegak dan stabil jika dia mahu mengambil makanan yang disuap dengan sudu.

• duduk dengan baik apabila dipegang

Mula-mula anda mungkin perlu memegangnya. Cuba tegakkan dia di hujung sofa atau sandarkan dia atas seorang orang dewasa. Kerusi tinggi budak boleh digunakan selepas itu, apabila dia sudah pandai duduk dengan sendiri.

• melakukan pergerakan mengunyah

Bayi anda mestilah boleh menolakkan makanan ke bahagian belakang mulutnya dan menelan. Apabila bayi anda pandai menelan dengan efisien, anda akan memerhatikan yang air liurnya sudah kurang meleleh.

• telah naik berat badan secara sihat

Kebanyakan bayi telah bersedia untuk makan separa pepejal apabila dia menggandakan berat lahirnya, yang akan berlaku sebelum atau sekitar usia enam bulan. Jika bayi anda tidak mencapai berat badan yang normal, berbincanglah dengan pakar pediatrik anda.

• amat berminat dengan makanan yang anda sedang makan

Bayi anda mula memerhatikan makanan yang anda sedang makan dan cuba mengambil makanan itu semasa anda mengambilnya dari pinggan untuk masuk ke mulut anda.

Apakan cara untuk memperkenalkan makanan separa pejal?

Pakar tempatan kami menyarankan supaya bayi anda diberikan campuran bijiran dan susu, iaitu, antara dua atau tiga sudu kecil bijiran dicampurkan dengan sebahagian daripada susu yang diambilnya untuk menjadi adunan yang rupanya ‘seakan-akan sup’. Kementerian Kesihatan juga menyarankan beberapa makanan sebagai pemula separa pepejal, iaitu, bubur yang disediakan di rumah, bijiran beras untuk bayi dan sayur-sayuran yang dimasak dan dilecek atau dipuri, dan juga buah-buahan. Berikan semua ini kepada bayi dengan sudu yang hujungnya diperbuat daripada getah yang lembut. Kemudian, berikan dia susu yang selebihnya. Makanan separa pepejal tidak semestinya diberikan pada waktu pagi; pilihlah masa yang sesuai untuk anda dan bayi anda.

Apabila bayi mula membiasakan diri dengan tekstur baru dan beransur-ansur makan lebih banyak makanan pejal, dia tidak lagi memerlukan sangat susu tambahan untuk mengenyangkannya. Namun, pada mulanya, ternampak oleh anda seolah-olah bayi anda hanya makan sedikit sahaja, walaupun banyak masa dihabiskan untuk memasukkan makan yang sedikit itu ke dalamnya. Anda mestilah bersabar dengan si kecil anda dan ingatlah bahawa ini adalah kemahiran baru dan dia memerlukan masa untuk mempelajarinya.

Apabila bayi sudah biasa makan bijiran sebanyak dua atau tiga sudu kecil sehari, cubalah tambah makanan lain. Bila dia sudah pandai makan bijirin dan semakin cekap menggunakan gerakan mengisar ke kiri dan ke kanan, kurangkan cecair dalam bijiran supaya teksturnya menjadi lebih pekat. Ini akan membantu bayi anda berlatih mengunyah (dengan gusinya) dan menelan.

Selera bayi anda adalah berubah dari satu waktu makan kepada waktu makan berikutnya, jadi perhatikan tanda-tanda bahawa dia sudah kenyang. Seorang bayi yang sudah tidak mahu membuka mulutnya untuk terus disuap, atau berpaling muka, atau mula bermain dengan makanannya, mungkin sudah kenyang.

Masihkah perlu saya memberi susu badan?

Ya. Susu badan dicipta sebagai makanan yang lengkap untuk bayi bagi enam bulan pertama. Susu badan dan susu formula memberikan vitamin, zat besi dan protin yang penting dalam bentuk yang mudah dicerna. Walaupun dalam sedikit masa dan secara perlahan-lahan, makanan pejal akan menggantikan sebahagian daripada keperluan bayi anda, susu badan atau susu formula tetap menjadi sumber nutrisi yang utama dan penting sehingga umurnya satu tahun. Malah, Kementerian Kesihatan menyarankan supaya susu badan dikekalkan sebagai sebahagian daripada diet bayi anda sehingga dia berusia dua tahun.

Bagaimanakah saya boleh membantu bayi saya membentuk tabiat pemakanan yang sihat?

Anda boleh membantu bayi anda belajar makan secara sihat dengan mengikuti peraturan ringkas yang berikut:

• Memberikan pilihan makanan yang pelbagai.
• Jangan terus memberi makanan kepada bayi anda jika dia tak mahu makan lagi (memalingkan kepalanya atau tidak mahu membuka mulutnya). Dia mungkin sudah kenyang atau tidak suka dengan makanan tersebut. Jika anda terlalu memaksa, dia mungkin tawar hati dan tidak akan mahu mencuba makanan lain.
• Berikan bayi anda pelbagai makanan protin dan kabohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran.
• Elakkan gula, makanan bergaram, dan makanan yang terlalu lemak atau pedas dan berempah.
• Jangan jadikan makanan sebagai hadiah atau dorongan. Sebaliknya, gunakan pelukan, ciuman dan perhatian yang banyak untuk ini.

Apakah caranya untuk menambahkan makanan bayi?

Mana-mana makanan baru harus diperkenalkan secara perlahan-lahan, satu per satu. Bayi anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan setiap rasa dan tekstur yang baru. Juga, berhati-hatilah apabila memperkenalkan makanan yang dia belum biasa, supaya anda dapat mengesan tanda-tanda reaksi alergi yang mungkin berlaku, seperti cirit-birit, sakit perut atau ruam. Tambahlah satu makanan baru setiap beberapa hari, bermula dengan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning, yang mudah dicerna bayi. Sesetengah pakar menasihat supaya bermula dengan sayur-sayuran hijau sebab kadang-kala bayi terlalu gemarkan rasa manis buah dan sayur warna kuning, dan tidak mahu mencuba kekacang langsung!

Mulakan dengan memberikan bayi anda beberapa sudu besar buah atau sayur bersama hidangan bijiran. Makanan pemula yang baik adalah: buahan yang masak dan dipuri seperti epal, pisang, betik, manga, pic, pir, dan sayuran seperti karot, ubi keledek, kubis bunga dan labu. Bancuhkan ia sepekat puri kasar dengan air masak yang disejukkan, atau susu badan atau susu formula. Cuba juga nasi bayi atau bubur kosong.

Jika bayi anda tidak mahukan sesuatu makanan, berikan dia makanan itu sekali lagi beberapa hari kemudian. Dia mungkin menolak sesetengah makanan setiap kali, tetapi anda perlu terus mengulangkan makanan itu dengan harapan dia akan mula merasa tertarik untuk memakanannya.

Berapa kali seharikah seharusnya bayi saya makan makanan bayi?

Apabila bayi anda berumur sekitar tujuh bulan, dia sepatutnya sudah mengambil makanan separa pejal tiga kali sehari. Makanannya setiap hari lebih kurang seperti berikut:

• Susu badan atau susu formula kaya zat besi. Sedikit jus tanpa gula yang dicair tipis dengan air suam (satu bahagian jus bagi sepuluh bahagian air) juga boleh diberikan di waktu makan dengan menggunakan cawan bayi atau gelas, bukan botol.

• Bijiran kaya zat besi.

• Sayur-sayuran pada kadar yang banyak, seperti ubi kentang, brokoli, kubis bunga, ubi keledek, choy sum, kailan, siew pak choy dan bayam.

• Daging dalam kuantiti kecil, ayam, ikan, yogurt, telur rebus keras, lentil dimasak lembut, keju (kecuali brie, stilton dan lain jenis keju berkulapuk atau lembut).

• Buah-buahan.

Panduan umum berikut elok diikuti:

• Jangan berikan madu sebelum dia berusia satu tahun sebab terdapat risiko botulisme bayi. (Baca dengan lebih lanjut mengenai madu dan botulisme.)

• Bergantung kepada diet bayi anda, kadangkala elok juga diberikan beberapa titisan vitamin. Tanyalah pakar pediatrik anda untuk nasihat lanjut.

Bagaimana pula dengan makanan jejari?

Apabila bayi lebih berpengalaman, anda boleh menambahkan kepekatan makanan yang diberi dengan menyertakan juga ketulan-ketulan lembut dan makanan lecek. Pada kira-kira usia tujuh hingga sembilan bulan, bayi anda mungkin bersedia untuk mengambil makanan jejari dengan saiz potongan cukup untuk sekali suap. (Kebanyakan bayi belum lagi mahir dengan kawalan jari sepenuhnya sehingga usia hampir sembilan bulan atau lebih.)

Beberapa makanan jejari yang sesuai dikisar dengan gusi dan mudah dicerna ialah: roti, pisang, karot dan ubi keledek dimasak lembut, bijiran beras rapuh atau beras paf (rice puff), dan masakan pasta beranika potongan. Jangan tinggalkan bayi anda seorang diri semasa dia tengah makan sebab risiko tercekik.

Adakan saya perlukan alat-alat khas?

Terdapat pelbagai jenis item berkaitan pemakanan yang sungguh menarik yang boleh anda beli tetapi sebenarnya semua itu tidak perlu. Walaupun begitu, terdapat beberapa item yang boleh melancarkan waktu makan. Sudu yang mempunyai hujung getah adalah penting untuk melindungi gusi bayi yang sensitif dan pinggan plastik yang boleh melekap akan mengelakkan makanan yang terletak atas kerusi tinggi daripada tertumpah ke lantai! Dan, untuk melindungi lantai anda, cuba alaskan dengan lapik tumpahan atau gunakan beberapa keping surat khabar untuk menakung tumpahan supaya lebih mudah untuk dicuci.

Tempat manakah sesuai untuk bayi diberi makan?

Apabila bayi anda sudah boleh duduk dengan sendiri, letakkan dia di kerusi tinggi bayi atau kerusi makan khas. Bayi yang merangkak mungkin akan tercekik jika diberikan makanan jejari, dan dia juga akan mengheret makanan ke sana sini dan mengotorkan lantai. Sebaliknya, jika bayi sudah mengkaitkan makan dengan waktu tetap dan meja makan, dia akan lebih cenderung membentuk tabiat makan yang baik sehinggakan waktu makan anda akan menjadi waktu yang gembira bersama-sama keluarga.

Nota: Anda akan dapati bahawa apabila makanan pejal dimasukkan ke dalam diet bayi anda, najisnya akan bertukar warna dan bau. Ini adalah normal. Jika anda mensyaki yang najis bayi anda terlalu keras sehinggakan membuat dia sakit, hubungilah pakar pediatrik atau doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan gantikanlah makanan tersebut dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang lain. Anda juga boleh memberikannya lebih banyak cecair seperti beberapa teguk air suam atau jus buah-buahan yang cair tipis. Bacalah artikel kami mengenai merawat sembelit bayi anda untuk maklumat lanjut.

p/s: Alhamdulillah..hjng bln ni Ammar masuk 6 bulan.. bersedia utk ummi masakkan bubur utk Ammar..hee..sy pula terlebih excited...

No comments: